Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memerlukan
sekurang-kurangnya enam buah kapal selam bagi membentuk angkatan yang
berupaya mengawal sempadan maritim negara secara berkesan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, aset
pertahanan itu penting kerana kedudukan Malaysia di kawasan tengah Asia
Tenggara terdedah dengan konflik bilateral dengan negara-negara jiran
termasuk isu Kepulauan Spratly.
Menurut beliau, angkatan kapal selam tersebut juga diperlukan untuk
membuat rondaan di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara seluas kira-kira
600 kilometer persegi yang kaya dengan hasil perikanan, minyak dan gas
dianggarkan bernilai trilion ringgit.
"Walaupun Singapura tidak mempunyai sempadan perairan yang besar,
negara itu mempunyai enam buah kapal selam dan beberapa aset tempur
udara yang canggih.
"Baru-baru ini, Vietnam juga bercadang membeli enam buah kapal selam
dan Indonesia telah memiliki dua buah kapal selam yang dibekalkan
Rusia," katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang
di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, Senator Abdul Rahman Bakar bangkit mencelah meminta
Kementerian Pertahanan menjelaskan tentang keperluan untuk menambah
bilangan kapal selam bagi mengawal perairan negara.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rahim menafikan dakwaan pihak tertentu
kononnya dua buah kapal selam jenis Scorpene yang dibeli kerajaan tidak
berfungsi, sebaliknya KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak
turut membuat rondaan di EEZ negara.
Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan sedang mempertimbangkan pembelian peralatan canggih seperti Nationwide Automatic Identification System (NAIS) dan alat pandang malam untuk digunakan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
No comments:
Post a Comment